sambungan..
Rumah kayu kami yang kami bina, turut musnah. Rumah kami betul2 dalam laluan angin. Pada sebelah awal malam, kami di rumah saja makan kuih muih sambil bergumbira. Tapi yang dasatnya, bila da tido, angin mula melanda. Saya terbangun pada malamnya sebab bunyi-bunyi atap rumah yang mula mengganas. Bunyi deruan angin juga sangat jelas. Saya lihat melalui tingkap, tapi cuma nampak kegelapan. Adik lelaki saya sudah terbangun dan kelihatan cemas. Kami pun bergegas ke bilik Bonda. Ternyata kakak sudah lama di situ. Dia dan Bonda duduk merapat sambil adik perempuan saya masih berumur kurang setahun dipeluk erat Bonda.
Saya orang lelaki paling tua dalam rumah ketika itu, dan umur saya hanyalah 11 tahun. Abang sudah pulang ke kampung sejak seminggu yang lalu dan tinggal bersama nenek. Bapa pula kebetulan sudah keluar ke tempat kerja syif malam yang bermula jam 12 tengah malam. Saya terus memandang melalui tingkap dan kadang-kadang saya terlihat pergerakan dalam kekelaman itu. Atap beberapa rumah sudah mula tercabut dan bunyi deruan angin semakin kasar. Semua orang dalam bilik itu sekarang dalam ketakutan yang amat. Kami semua tersentak apabila ada benda berterbangan yang berdentum kerana telah melanggar dinding rumah kami.
Saat yang paling cemas bermula semasa rumah mula bergoyang menahan ribut. Bonda terkumat-kamit membacakan doa manakala kami semua bingung tidak tergerak berbuat apa-apa. Atap di ruang tamu mula terkopak dan menghempas-hempas membingitkan suasana dalam keganasan angin melanda. Atap bilik Bonda juga tiba-tiba menghilang dalam kegelapan kerana diterbangkan angin. Hujan mencurah-curah masuk bersama angin. Bonda tiba-tiba berdiri meluru ke almari dan mengambil semua benda bernilai yang boleh dicapainya dengan pantas.
Bonda menjerit menyuruh saya untuk membuka tingkap-tingkap rumah supaya angin dapat melalui dengan mudah. Saya dengan penuh rasa cemas meluru ke tingkap dan membuka setiap satu dengan pantas. Tiba-tiba rumah bergegar. Kali ini lebih kuat. Rangka yang memegang atap mengelongsor lantas memperlihatkan langit yang sedang mengganas. Ternyata atap itu terlekat teguh pada rangka, sehinggakan angin tidak mengalah mau mencabut semua sekali. Bonda mengarahkan untuk membuka pintu depan, supaya angin akhirnya dapat melalui masuk dari pintu utama dan keluar dari tingkap.
Saya bergerak dan membuka pintu, tetapi tertolak dan terjatuh kerana angin meluru masuk dengan rakus. Saya terlihat laluan agak bersepah dengan zink atap rumah orang yang tersangkut di depan pintu. Bonda sudah berada dibelakang. Bonda memeluk adik kecil saya dan memberi isyarat supaya semua orang keluar. Bonda dan yang lain-lain berlari keluar dan menuruni dengan pantas. Saya cuma risau jika ada benda berterbangan yang bakal mencederakan sesiapa. Saya menjadi orang terakhir keluar dan menuruni tangga dengan pantas.
Saya terjatuh terpijak benda asing yang bersepah di tangga.
Dalam cubaan bangun semula, saya terjatuh kerana sakit itu cuba menguasai. Namun, memandang Bonda yang berlari dalam gelap memberi saya semangat. Saya cuma mau tiada benda yang mencederakan semua orang. Gabungan angin dan hujan sangat sejuk dan menakutkan. Tapi semangat seharusnya tidak pernah takut dan terpadamkan. Saya lantas bangun dan terhenjut-henjut mengiringi Bonda ke tempat yang lebih menjanjikan keselamatan.
Kami berkurung di bawah rumah jiran sebelah yang tidak banyak terusik oleh angin dan ketakutan. Bonda, kakak dan adik berpelukan. Saya mengambil sedikit jarak supaya saya dapat melihat semua orang. Bonda ternyata memeluk anak-anaknya dengan erat.
Untuk seketika, angin masih mengganas. Lama-kelamaan ia semakin reda dan menghilang. Cemas menghilang seiring cerah menjelang. Pagi mula menyinar dan keadaan sudah selamat untuk melihat keluar. Berdiri di puncak bukit ini, membuatkan saya sedar bahawa keadaan adalah lebih teruk daripada yang dapat saya bayangkan. Hampir semua rumah yang kelihatan, mengalami kerosakan. Ada rumah yang tidak kukuh dan hancur. Rumah saya sendiri sebenarnya berdiri di atas puncak bukit namun terselamat daripada bergolek ke celah bukit mengikut angin.
Akhirnya, jiran dari rumah hujung sana datang dan tidak habis-habis menangis kerana sekeping atap rumahnya diterbangkan angin. Bila dia terlihat rumah kami dan rumah banyak orang di bukit sebelah sini, dia terdiam dan kelihatan ada kesyukuran diwajahnya. Dia mencari adiknya iaitu tuan rumah tempat kami berlindung sebentar tadi. Auntie tuan rumah ini, mendakwa rumahnya terangkat sebelum dia terjelepok pengsan. Pastinya dia sangat terkesan kerana mengalami semua ini berseorangan. Tiada ahli keluarganya di rumah ketika kejadian.
Kerana semua ini, Bonda akhirnya memutuskan untuk menetap di kampung. Bapa tidak berpindah kerja. Cuma rumah kami yang seterusnya ini akan dibina di kampung. Tempat baru. Sekolah baru. Teman-teman baru. Hidup baru.
No comments:
Post a Comment