Pada awal penghijrahan kami ke kampung, kami menetap di rumah nenek. Dan dalam masa yang sama rumah kami dibina tidak jauh dari tempat itu.
Saya untuk ke sekian kalinya mendaftar masuk ke sekolah baru lagi. Sekolah Kebangsaan Tinambak nama diberi. Tapi saya tidak kekok sangat kerana akhirnya saya bersekolah bersama dengan murid-murid yang majoriti bangsa saya.
Satu hal yang sangat berlainan pada saya ialah cara percakapan saya ketika itu. Bila saja saya berdialog, saya tidak dapat menghalang diri daripada menggunakan kata ganti nama diri merujuk kepada diri sendiri, iaitu, aku atau saya. Bayangkan, saya membesar diseluruh pelosok negeri Sabah dengan menggunakan perkataan 'aku' namun di kampung ini, semua orang menggunakan kata ganti nama 'saya'. Jadi, terdapat pertembungan dalam dialog kami orang. Dan apabila saya menggunakan 'aku', semua orang nampak tidak selesa. Tapi ada satu orang budak tu yang kureng sket la, mengkomplen cara saya bercakap. Sebenarnya saya tidak pernah sedar perkataan 'aku' itu tidak sedap didengar oleh orang lain, tetapi kerana budak kureng itu la yang membuat saya membuka mata dan mengubah dunia.
Ketika bermain dengan rakan,
" Ok, giliran aku lagi", saya kata la.
" Jangan guna aku, guna saya la" , kata budak kureng tu.
"Owh, ok. Sekarang giliran saya", saya bercakap dengan yakin.
Tapi tidak lama kemudian, guna 'aku' lagi.
Lama kelamaan, itu tidak lagi menjadi masalah. Kehidupan menjadi normal tanpa banyak highlights. Rumah ketika itu agak kecil, tanpa banyak expansion seperti yang hari ini. Beruntung la sebab buat rumah sukahati macam mana design. Malah tanah sendiri memberi peluang kepada pemilik untuk membuat sebesar mana pun rumah. Tapi rumah tu tidak la besar mana pun hari ni. Selepas beberapa waktu tinggal di rumah nenek, kami sekeluarga terus masuk ke rumah baru yang separuh siap. Bapa kan jenis yang tidak mau menyusahkan orang lain, sebab tu bila atap dan dinding da pasang, Bapa kata kami pindah masuk saja la.
Di sekolah, ketika itu saya mendaftar diawal tahun 1997 selepas waktu cuti persekolahan tamat. Saya pertama kali belajar di sekolah, penuh dari awal tahun. Saya duduk sekumpulan dengan budak paling pandai dalam kelas, iaitu seorang budak perempuan. Namun kedatangan saya ke kelas ini, membuatkan kedudukan beberapa orang akan tergugat. Saya menjadi saingan utama si budak perempuan itu. Kami saling berusaha mengalahkan sesama, dasat juga la bila markah dia lebih tinggi daripada markah saya. Saya rasa nda puas hati pula. Dia pun begitu juga kalo markah saya lebih tinggi.
Perkara yang membuatkan dia istimewa ialah dia si budak perempuan itu sebenarnya sangat comel dan kiut. Saya mengaku saya kadang-kadang saya suka si budak-perempuan-comel-dan-kiut ini. Walaupun dia mungkin agak pendiam dan kelihatan agak pemarah ketika itu, tapi saya tidak takut pula. Budak nakal kan. Siok saja. Rasanya hormon testosteron saya da menjelma kut. Huhu. Setiap sekolah yang saya masuk sebelum itu, saya pasti akan jatuh cinta pada sesiapa yang paling comel. Tapi yang di sekolah itu, saya jatuh cinta pada dia seorang pula. Kesian saya kn. Nakal tapi pemalu. Jadi saya jarang berpeluang bercakap dengan dia.
Bila UPSR menjelma, saya tidak yakin sangat dengan performance saya. Saya buat macam selalu ja la. Tidak pernah expect yang terbaik. Namun keputusan menunjukkan prestasi saya adalah pada 4A1B dengan B itu untuk Bahasa Inggeris. Perkara kedua yang saya mau tau selepas itu ialah keputusan si budak-perempuan-comel-dan-kiut itu la. Dia pun 4A1B juga, tapi B dia untuk Sains. Sejak dari hari itu, saya selalu mo dengar update cerita dari dia.
Saya pun melangkahkan kaki masuk ke SMK. Tenghilan bersama ramai kawan2 dari sekolah yang sama. Di sekolah menengah, memang agak dasat juga perasaan bila bersekolah dengan ramai pelajar yang mencecah angka ribu. Sebab selama ini, sekolah rendah dalam ratus orang ja. Memang terkejut beruk la. Kelas tingkatan satu ada banyak, A, B, C, D, E, F, G, H kut. Dan saya dikelaskan pada C. Dasat la juga rasa, sebab saya tidak sekelas dengan budak-budak lain yang lebih bijak. Saya rasa sangat hairan,sedangkan pada seminar UPSR yang lepas, banyak budak-budak yang satu seminar tu sekarang duduk di kelas A. Tapi saya di C. Macam mana juga la sistem pembahagian kelas.
Banyak juga perkara yang terjadi semasa bersekolah di SMK. Tenghilan sebelum saya berpindah sekali lagi. Saya sempat menikmati kehidupan sebagai pelajar harian biasa selama 6 bulan. Sempat juga tengok sumandak-sumandak lawa dusun yang selama ni tidak saya berpeluang tengok.
Akhirnya, pada suatu tarikh, saya dapat suprise di kelas, ada kek budak-budak lain bawa masuk. Saya masih ingat nama guru kelas kami tu. Cikgu Angah guru Matematik merangkap guru kelas 1C. Semasa matapelajaran matematik, kelas kami bertukar menjadi majlis perpisahan la pula. Saya ingat saya kena suruh bagi sepatah dua kata. Tidak ingat apa yang saya kata. Tapi semua orang kelihatan sedih. Saya pun sedih juga. My time at SMK.Tenghilan was officially over.
Walaupun sedih meninggalkan sekolah dan rakan-rakan, dan si-budak-perempuan-comel-dan-kiut yang duduk di kelas A, saya sebenarnya juga teruja kerana bakal masuk ke sekolah baru, sekolah berasrama penuh, atau nama rasminya, Sekolah Menengah Sains Labuan.
Kehidupan bermula lagi.
bersambung...
No comments:
Post a Comment